“Wahnu al Azimah” Dan Rantaian Keaiban

2/15/09

Saudara kita, bersama di atas jalan dakwah, memahami apa yang kita
fahami, berkongsi pandangan dalam semua perkara, tetapi apabila kita
menghadapi persimpangan yang genting tiba-tiba ia meninggalkan kita
dan memilih jalan lain.

Apa yang memisahkan kita?

Jawapannya ialah keazaman……perbezaan dari segi kualiti keazaman

Sebahagian kita yang tidak memiliki keazaman kuat akan memilih jalan
lain apabila dunia dia tergugat.

Amat jauh bezanya antara keazaman tinggi yang terikat dengan firdaus
al a'la (tertinggi ) dan keazaman rendah (wahnu al azimah) yang
terbelenggu dengan kepentingan periuk nasi.

Ada kecacatan dalam tarbiah…sebahagian makna tidak lekat dihati…maka
suluk rujulah (akhlak kepahlawanan sebenar) tidak terbentuk.

Apabila kamu dikerah pada hari kerahan untuk berjuang, hati kamu berat
ke bumi?, adakah kamu reda dengan kehidupan dunia ??? … Tidakkah kamu
tahu bahawa yang akhir lebih baik dari yang pertama?

Kawan kita boleh jadi meninggalkan kita dan memilih jalan lain di
waktu kita berhadapan dengan hari-hari yang memcabar kerana pentingkan
keselamatan diri dan bimbang terhadap sumber rezeki.

Rezeki sebenarnya tidak terancam kerana Allah yang menjamin rezeki,
tetapi syaitan yang menakut-nakutkan.

"Kami tidak meminta kamu rezeki, sebaliknya kami yang memberi rezeki
kepada kamu"

Fenomena meninggalkan jalan istiqamah satu yang tidak ganjil dalam
dakwah ini, jadi apa yang menarik dengan "wahnu al azimah"?.

"Wahnu al azimah" sebenarnya sejenis penyakit hati. Pengidapnya bukan
sahaja merosakkan dirinya dengan memilih dunia dari akhirat atau
memilih jalan selamat diwaktu perjungan memerlukan pengorbanan, tetapi
mereka akan menyesatkan orang dengan dakwaan kosong.

Tentu orang yang lemah terutama lemah keazaman tidak akan mengaku atau
memperlihatkan hakikat dirinya yang berpenyakit tetapi sebaliknya akan
mencipta seribu satu macam alasan untuk melindungi kelemahan dan
meghias kelemahannya menjadi kebijakan dan kepahlawanan.

Dia akan cuba mencipta untuk dirinya keperibadian hero atau
keperibadian islah yang inginkan kebaikan. Namun oleh kerana jiwanya
yang lemah ia tidak mungkin manpu melaksanakan tanggungjawab dakwah
yang berat dan memerlukan pengorbanan, sebab itu ia akan sentiasa
melompat dari satu alasan ke satu alasan dan berpindah dari satu babak
lakonan ke satu babak lakonan. Orang seperti ini biasanya bergerak di
belakang tabir dan takut untuk berdepan atau turun medan.

Dia mungkin mendapat mengumpul sokongan dari saf yang lemah atau
golongan yang "suzzaj" yakni cetek pengetahuan dan lurus bendul. Lagi
ramai orang yang terpedaya lagi rosak dirinya dan dia merosakkan orang
lain. Ini kerana penyakit itu tidak sekadar menjadikan dia berlakun
sebagai hero tetapi akan juga mengalih kelemahan dan kegagalannya
kepada orang lain.

Seorang yang mengidap penyakit ini tentu tidak punya keupayaan untuk
membawa perjuangan atau menonjolkan qudwah dalam perjuangan yang penuh
liku dan pengorbanan, oleh itu dia perlu mengalih pandangan umum
daripada melihat kelemahannya dengan meletakkan kesalahan kepada orang
lain.

Dia seolah-olah mahu memberitahu bahawa kegagalannya bukan kerana
kelemahan dirinya tetapi kerana masalah orang lain Jadi orang lain
itulah yang sebenarnya bersalah dan perlu dihukum. Maka dia akan
mencari mangsa untuk dikambing hitamkan dan memulakan cerita palsu,
mengeksploitasi kelemahan orang lain dan mencipta tohmahan untuk
mengalih tumpuan.

Di sini kita dapat lihat bermula bahaya penyakit "wahnu ala azimah"
berbanding sebab-sebab kelunturan istiqamah yang lain. Lagi merbahaya
jika dia dapat menarik kawan-kawan yang sama berpenyakit bergabung
dengannya. Dan lebih bahaya jika mereka menduduki tampuk kepimpinan.
Mereka dengan lebih mudah mengorbankan mangsa-mangsa atas alasan
kepentingan dakwah atau atas nama jamaah ..

Bahkan itulah saat-saat kebinasaan.

"Sahabat bertanya bilakah kiamat atau kebinasaan besar itu ya
Rasulullah? Baginda menjawab, apabila urusan kepimpinan diserahkan
kepada mereka yang tidak layak, maka tunggulah saat kebinasaan".

Bahkan bahaya tidak berhenti setakat mencipta keperibadian hero yang
palsu, mengambing hitam orang lain tetapi dia akan lebih melampau
daripada itu iaitu dengan seterusnya cuba memusnahkan
kejayaan-kejayaan orang lain.

Daripada cenderung kepada dunia, berlagak sebagai lelaki muslih,
meletakkan masalah kepada orang lain kepada berusaha menghancurkan
kejayaan orang lain. Satu pakej yang dinamakan oleh Ahmad Rashid
sebagai rantaian keaiban,

Lihatlah betapa bahayanya penyakit "wahnu al azimah" atau lemah
keazaman kepada dakwah. Sangat penting kepada murabbi dan naqib
memahami fenomena yang merbaya ini dan merawatnya dari awal
pembentukan seseorang. Kadang-kadang tarbiyah di satu-satu tempat
lemah atau naqib tidak ada pengalaman meningkat mereka yang
berpenyakit ini ke dalam saf . Ini boleh menyebabkan saf dihinggapi
oleh penyakit yang sukar dirawat.

Sebab itu saya pilih untuk membuat pendedahan ini, agar generasi baru
khususnya murabbi-murabbi muda lebih peka dan mengambil pengalaman
dari kesilapan silam. Saya berterima kasih kepada Abu A'la Al Maududi
orang pertama yang saya baca mendedahkan penyakit ini dalam bukunya
Tarkirah Duah.

Moga-moga ia juga memberikan keinsafan, kerana kadang-kadang orang
mengidap penyakit ini tidak sedar bahawa dirinya berpenyakit.

Di samping itu, saya juga berharap ia boleh membantu kita dalam
memahami dan mentafsir fenomena fitnah tertentu yang berlaku dalam
jamaah. Kadang-kadang satu-satu isu nampak simple pada lahirnya,
perkara biasa dalam perbezaan pendapat tetapi amat sukar di rawat dan
diatasi. Ini kerana ia adalah masalah penyakit didalam hati. Dalam kes
perbezaan fikrah biasa yang mana hati masih sejahtera, masing-masing
boleh buat kerja dan memaafkan perbezaan tetapi dalam kes ini orang
tidak akan berhenti sehingga dapat memusnahkan kebaikan orang lain.

Read More...